Friday 20 March 2015

Kisah Benar Dato' Dol Said

Cerita Sebenar Perang Naning Pertama 1831 versi Tempatan



            Pada tahun 1827, Dato' Dol Said telah menghukum bunuh seorang pesalah yang menjadi pengintip kepada pihak British di Melaka dalam memberikan maklumat dalam menyiasat kekuatan pertahanan tentera di Wilayah Naning. Pesalah itu telah disalang (sebuah hukuman yang menikam keris ke bahu pesalah lalu tikaman dibuat menyerong hingga menikam ke jantung, hati dan perut) di atas sebuah bukit yang bernama Bukit Penyalang. Hal ini telah sampai ke pengetahuan British di Melaka lalu menggunakan alasan bahawa Dol Said telah melanggar perjanjian yang dibuat antara British dan Naning dimana kuasa hukuman bunuh haruslah diadili dan dihakimi sendiri oleh Council of British India East Company bukan dalam bidang kuasa Dato' Naning. 
          Maka British telah menghantar 40 orang polis yang handal bermain pedang untuk menangkap Dato' Dol Said untuk dibicarakan di Melaka. Ketika penangkapan sedang dijalankan, Dato Dol Said telah menyerang semua 40 orang polis Inggeris itu lalu dibunuhnya 39 orang polis dan sengaja dibiarkan hidup seorang lagi polis untuk mengkhabarkan kehebatan Dato' Dol Said kepada Residen Melaka. Peristiwa ini menyebabkan pihak British di Melaka telah menhantar 150 askar berkuda dan 200 askar pejalan kaki untuk menyerang Naning pada tahun 1831. Inggeris telah membuat kubu pertahanan di Sungai Petai iaitu sebuah kawasan yang terletak disempadan kawasan pekan Alor Gajah. Lebih 60 biji meriam telah dibawa untuk menyerang Naning dan mereka menggunakan kereta lembu sebagai kenderaan untuk menarik meriam-meriam yang digunakan.
          Pada waktu yang sama Dato' Naning telah meminta bantuan Yantuan Ali Luak Rembau dan menantunya Syed Syaaban, Penghulu Remai, Penghulu Rechat, Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu dan para pembesar Negeri Sembilan dalam memerangi Inggeris di Naning. Sebanyak 500 tentera dihantar untuk membantu tentera Naning memerangi askar Inggeris. Dato' Naning telah menggunakan tektik perang yang amat bijak iaitu beliau menggunakan teknik serangan gerila dalam mematahkan kemaraan British di Naning. Di samping itu, beliau mengarahkan pokok-pokok ditebang untuk melambatkan dan menyukarkan kenderaan yang mengangkut meriam-meriam  untuk melalui jalan-jalan disekitar Naning. Menurut cerita orang-orang tua, Dato' Naning menggunakan ilmu kebal kepada askarnya sehinggakan tentera British sukar untuk membunuh askar Naning walaupun ditembak berdas-das. Berlaku juga perkara yang ajaib iaitu Dato' Naning telah memanggil ribut taufan sehinggakan tanah yang ditimpa hujan itu menjadi lumpur lalu menyebabkan tentera Inggeris melekat dalam lumpur tersebut dan kini tempat itu dikenali sebagai Melekek (perkataan melekat dalam loghat Naning).
            Maka pada tahun 1831, dalam Perang Naning pertama kemenangan telah berpihak kepada Dato' Naning dan sekutunya. British India East Company telah menanggung malu yang teramat sangat sehinggakan Residen Melaka ketika itu Sir Samuel Garling telah memohon bantuan askar daripada High Consultant British Company di Culcatta India. Perkara ini menjadikan British sebuah kuasa besar yang mampu menumbang kerajaan India jatuh maruahnya kerana kalah dengan sebuah negeri kecil. Maka British telah melaksanakan sesuatu perancangan yang sulit yang membuatkan British membuang sifat realistiknya...

BERSAMBUNG...
Siapakah Dato' Naning?

      Pastinya ramai diantara yang kita keliru siapakah sebenar Dato' Naning. Di zaman persekolahan kita pernah belajar dalam buku teks sejarah tingkatan 2 dalam bab bertajuk pejuang negara dimana kita menganggap Dato' Naning atau Dato' Dol Said merupakan orang yang sama. Jika itu yang kita fahami maka hari ini anda akan didedahkan dengan kisah sebenar. 

       Tahukah anda Dato' Naning merupakan jawatan tertinggi yang disandang dalam sistem pentakbiran tradisional masyarakat Naning sejak lebih 600 tahun dahulu. Dato' Naning boleh dikatakan seperti seorang raja atau sultan yang memerintah sesebuah negeri cuma gelaran raja atau sultan tidak digunakan oleh Dato' Naning kerana terdapat perjanjian antara Sultan Muzaffar Syah dengan Dato' Naning yang pertama iaitu Dato' Perpatih Nan Sebatang. Disebabkan pada ketika itu Melaka sudah mempunyai seorang sultan maka Dato' Perpatih Nan Sebatang menolak untuk menggunakan gelaran raja atau sultan kerana beliau khuatir akan wujudnya pertumpahan darah antara pengikut beliau dan pengikut Sultan Melaka dibelakang hari kelak. 



20 Fakta Ringkas Yang Menarik Mengenai Sejarah Dato' Naning:

  • Gelaran sebenar Dato' Naning adalah Yang Amat Mulia Orang Kaya Seri Raja Merah Nan Bergajah Tunggal Dato' Penghulu Undang Naning
  • Dato' Naning pertama merupakan pengasas adat Perpatih iaitu Tengku Patih Sutan Jatang Balun atau lebih dikenali sebagai Dato' Perpatih Nan Sebatang
  • Menurut catatan Belanda, Penguasa Belanda di Melaka iaitu Pantos mencatatkan bahawa jawatan Dato' Naning merupakan sebuah jawatan yang disandang sebelum zaman penjajahan Portugis di Melaka. 
  • Menurut Munsyi Abdullah pula dalam bukunya 'Hikayat Abdullah Munsyi' menyatakan jawatan Dato' Naning merupakan sebuah jawatan yang dibuat oleh Belanda untuk menguruskan masyarakat Minangkabau di kawasan utara Melaka
  • Menurut penduduk tempatan Dato' Naning merupakan salah seorang anak raja dari Pagar Ruyong yang datang ke Melaka hasil permintaan Sultan Melaka untuk membantu baginda dalam menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat orang asli atau Jakun
  • Sehingga hari ini masyarakat di Alor Gajah masih lagi mengakui dan meneruskan sistem pemerintahan tradisi Naning walaupun kuasa Dato' Naning hanya berdasarkan kuasa adat semata-mata
  • Terdapat 21 orang Dato' Naning sejak zaman dahulu hinggalah ke hari ini
  • Dato' Naning mendapat nama gelarannya sempena nama seekor tebuan tanah yang besar yang bergelar Naning (Apis Dorsata)
  • Dato' Dol Said pahlawan Melaka yang menentang British merupakan Dato' Naning yang ke-9
  • Dato' Naning Dol Said merupakan perjuang pertama yang memulakan gerakan menentang British pada tahun 1831
  • Buat kali pertama semenjak menduduki Semenanjung Tanah Melayu, British India East Company kalah kepada penduduk tempatan apabila berperang dengan Dato' Naning dalam perang Naning pertama 1831
  • Dato' Naning merupakan sebuah jawatan yang hanya boleh disandang dalam masyarakat adat perpatih dalam sebuah suku yang bergelar Seri Melenggang atau Semelenggang
  • Cara pemilihan penyandang jawatan Dato' Naning sejak Dato' Naning pertama telah dibuat dengan cara menyarungkan baju ajaib yang bernama Baju Setampuk Pinang atau Suindusen Wa is Tabrokin
  • Baju Setampuk Pinang ghaib apabila kematian Dato' Naning yang ke 14 menyebabkan berlaku perebutan jawatan Dato' Naning
  • Dahulunya Dato' Naning merupakan penguasa Wilayah Naning daripada sempadan Segamat (Nyalas) hinggalah ke Sempadan Negeri Sembilan (Lubuk Cina, Kendong, Tampin)
  • Hari ini, jawatan Dato' Naning merupakan sebuah jawatan ketiga tertinggi di Negeri Melaka selepas Gabenor dan Ketua Menteri Melaka menurut pelembagaan Negeri Melaka
  • Dalam sejarah Naning, Dato' Naning telah mengetuai penentangan beberapa penjajah seperti Portugis, Belanda, dan British
  • Dato' Dol Said satu-satunya pejuang yang tidak dibunuh oleh British malah diberikan pencen sebanyak $100.00 sebulan
  • Dato' Dol Said satu-satunya pejuang yang berjaya menyatukan pembesar Negeri Sembilan dalam memerangi British dalam perang pertama
  • Jawatan Dato' Naning tidak boleh diserahkan kepada anak tetapi diserahkan kepada anak buahnya




Tuesday 10 March 2015

Apa itu ‘Naning’?



       
Naning merupakan sejenis serangga berbisa yang dikenali sebagai lebah madu gergasi dalam kalangan masyarakat Melayu. Naning atau nama saintifiknya Apis Dorsata merupakan sebuah keluarga lebah madu yang paling besar dalam keluarga lebah. Naning hidup dikawasan Asia Tenggara hingga ke Selatan India. Wilayah Naning diberikan nama sempena dengan nama serangga ini kerana menurut cerita rakyat masyarakat tempatan, serangga Naning ini merupakan seekor binatang yang keramat dan menjadi penjaga kepada kedaulatan wilayah Naning. Binatang ini suatu ketika dahulu bersarang dalam sebuah taboh (beduk) yang digunakan untuk memanggil orang bersolat.
 Walau diketuk berapa kuat sekali pun, serangga ini tidak akan keluar menyengat si pemukul taboh malah sentiasa diam dalam sarangnya. Binatang ini juga dipercayai telah membantu Dato’ Dol Said iaitu Penghulu Naning yang ke-9 dalam mengalahkan tentera British dalam Perang Naning pertama pada tahun 1831. Serangga ini telah bertindak menyengat askar-askar British yang datang menyerang Wilayah Naning sehinggakan askar British terpaksa menghentikan serangan dan berpatah balik ke Bandar Hilir. Sehingga ke hari ini, Naning dianggap seekor binatang yang mempunyai keramatnya dalam masyarakat di Alor Gajah sehinggakan sarang Naning dilarang disentuh atau dirosakkan.

Monday 9 March 2015



Sejarah Kawasan Naning



     Naning merupakan sebuah kawasan wilayah yang bersempadan diantara daerah Rembau dan Melaka yang berkeluasan kira-kira 200 batu atau 250 KM persegi. Wilayah Naning telah dibuka oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat yang merantau ke Semenanjung Tanah Melayu sekitar abad ke-13 masihi (Rosli Saluddin, 2007).1 Wilayah Naning merupakan sebuah wilayah yang tertua sekali di Malaysia dalam pengamalan adat Perpatih kerana Naning telah dibuka sendiri oleh Dato’ Perpatih Nan Sebatang atau Jatang Sutan Balun. Wilayahnya yang berdekatan dengan Bandar Hilir, Melaka (kira-kira 10 batu) menjadikan bukti yang kukuh dalam pembentukan wilayah oleh masyarakat Minangkabau yang berlabuh di Melaka yang terkenal sebagai perlabuhan dunia. Sifat geografi wilayah Naning di kawasan utara Melaka menguatkan lagi asas pembentukan adat Perpatih seperti mana yang terkandung dalam perjanjian Dato’ Nan Duo Selo iaitu sebuah perjanjian pentakbiran wilayah diantara Maharajo Basa atau dikenali sebagai Datuk Ketemenggungan dengan Datuk Perpatih Nan Sebatang (Mohd Shah, 1996).2 Perjanjian yang dibuat dua beradik tiri ini ialah setiap pentakbiran kerajaan berasaskan adat Temenggung mestilah berada di kawasan persisir pantai manakala kawasan jajahan adat Perpatih mestilah dikawasan darat (hutan atau ditengah pulau).
    Pada sekitar abad ke-16, Wilayah Naning merupakan salah satu sekutu daripada Sembilan Negeri Melayu yang bersekutu sehingga dikenali dengan nama Negeri yang Sembilan (Negeri Sembilan). Sembilan buah negeri yang bersekutu ini adalah Naning, Rembau, Johol, Sungai Ujong, Jelebu, Ulu Pahang, Segamat, Kelang dan Jelai.3