Monday 9 March 2015



Sejarah Kawasan Naning



     Naning merupakan sebuah kawasan wilayah yang bersempadan diantara daerah Rembau dan Melaka yang berkeluasan kira-kira 200 batu atau 250 KM persegi. Wilayah Naning telah dibuka oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat yang merantau ke Semenanjung Tanah Melayu sekitar abad ke-13 masihi (Rosli Saluddin, 2007).1 Wilayah Naning merupakan sebuah wilayah yang tertua sekali di Malaysia dalam pengamalan adat Perpatih kerana Naning telah dibuka sendiri oleh Dato’ Perpatih Nan Sebatang atau Jatang Sutan Balun. Wilayahnya yang berdekatan dengan Bandar Hilir, Melaka (kira-kira 10 batu) menjadikan bukti yang kukuh dalam pembentukan wilayah oleh masyarakat Minangkabau yang berlabuh di Melaka yang terkenal sebagai perlabuhan dunia. Sifat geografi wilayah Naning di kawasan utara Melaka menguatkan lagi asas pembentukan adat Perpatih seperti mana yang terkandung dalam perjanjian Dato’ Nan Duo Selo iaitu sebuah perjanjian pentakbiran wilayah diantara Maharajo Basa atau dikenali sebagai Datuk Ketemenggungan dengan Datuk Perpatih Nan Sebatang (Mohd Shah, 1996).2 Perjanjian yang dibuat dua beradik tiri ini ialah setiap pentakbiran kerajaan berasaskan adat Temenggung mestilah berada di kawasan persisir pantai manakala kawasan jajahan adat Perpatih mestilah dikawasan darat (hutan atau ditengah pulau).
    Pada sekitar abad ke-16, Wilayah Naning merupakan salah satu sekutu daripada Sembilan Negeri Melayu yang bersekutu sehingga dikenali dengan nama Negeri yang Sembilan (Negeri Sembilan). Sembilan buah negeri yang bersekutu ini adalah Naning, Rembau, Johol, Sungai Ujong, Jelebu, Ulu Pahang, Segamat, Kelang dan Jelai.3

1 comment:

  1. Very insightful write-up. Thank you. Do write more about this region.

    ReplyDelete