Apa itu ‘Naning’?
Naning merupakan sejenis serangga berbisa yang dikenali sebagai lebah madu gergasi dalam kalangan masyarakat Melayu. Naning atau nama saintifiknya Apis Dorsata merupakan sebuah keluarga lebah madu yang paling besar dalam keluarga lebah. Naning hidup dikawasan Asia Tenggara hingga ke Selatan India. Wilayah Naning diberikan nama sempena dengan nama serangga ini kerana menurut cerita rakyat masyarakat tempatan, serangga Naning ini merupakan seekor binatang yang keramat dan menjadi penjaga kepada kedaulatan wilayah Naning. Binatang ini suatu ketika dahulu bersarang dalam sebuah taboh (beduk) yang digunakan untuk memanggil orang bersolat.
Walau diketuk berapa kuat sekali pun, serangga ini tidak akan keluar menyengat si pemukul taboh malah sentiasa diam dalam sarangnya. Binatang ini juga dipercayai telah membantu Dato’ Dol Said iaitu Penghulu Naning yang ke-9 dalam mengalahkan tentera British dalam Perang Naning pertama pada tahun 1831. Serangga ini telah bertindak menyengat askar-askar British yang datang menyerang Wilayah Naning sehinggakan askar British terpaksa menghentikan serangan dan berpatah balik ke Bandar Hilir. Sehingga ke hari ini, Naning dianggap seekor binatang yang mempunyai keramatnya dalam masyarakat di Alor Gajah sehinggakan sarang Naning dilarang disentuh atau dirosakkan.
No comments:
Post a Comment